Pulau Tenggol lubuk ikan saiz bagak
Oleh Zulkarnain OmarBERAT: Tekong Din terpaksa membantu Sham menaikkan kerapu 31 kilogram yang menyentap jig yang digunakan. |
DUNGUN: Terengganu sememangnya sebuah negeri yang indah dan makmur serta mempunyai pantai yang cantik. Memiliki beberapa pulau yang sudah terkenal sebagai destinasi pelancongan menarik.
Bagi kaki pancing, Pulau Tenggol sudah tidak asing bagi mereka kerana di situ terdapat beberapa lubuk ikan bersaiz bagak.
Selama tiga bulan perancangan dibuat bagi menjayakan trip kali ini. Sham, Joe, Man dan Adi bertolak dari Kuantan dan menginap seketika di sebuah chalet di Rantau Abang sebelum menaiki bot keesokannya. Pada mulanya lapan peserta akan turut serta mengikut trip ini. Tapi disebabkan hal tertentu, hanya empat saja meneruskan niat.
Jam 8 pagi tekong yang dikenali sebagai Abang Din menyambut mesra ketibaan kami. Kami mula bertolak menuju unjam untuk mencari umpan hidup. Dua jam perjalanan kami tiba di sebuah unjam konkrit.
Apabila aksi appolo dilabuhkan, tidak disangka apa yang kami turunkan ditarik rakus oleh mangsa. Lantas ada di antara kami bergegas menukar joran berumpankan sotong segar. Beberapa minit kemudian joran Sham melendut sambil kekili berbunyi nyaring. Tangkapan pertama ebek seberat 5 kilogram berjaya didaratkan diikuti Adi dan Joe yang masing-masing berjaya menjinakkan jenahak sekitar 2 hingga 3 kilogram,
Apabila mangsa berhenti menjamah umpan, tekong terus menuju unjam kedua berhampiran Pulau Tenggol.
Beberapa tempat seperti cerun adalah lubuk kediaman penghuni lautan dan berpotensi besar untuk mendaratkan spesies seperti kerapu dan jenahak. Setelah bot sampai di unjam kedua, kami masih lagi mencari umpan hidup dan sotong segar untuk dijadikan umpan. Tekong Abang Din terus berlegar mencari satu lubuk yang biasanya amat mengena dan tidak mengecewakan apabila membawa setiap kaki pancing ke situ.
Hari telah lewat petang, tapi tangkapan di lokasi berkenaan kurang memberangsangkan. Tiba-tiba tekong mengajukan soalan seolah-olah membuat pilihan “Nak tangkap ikan banyak ke atau ikan besar”.
Setelah berfikir sejenak kami sepakat ingin menjerit ikan besar. Lantas tekong mengarahkan perambut ditukar kepada 80 paun. Setelah lokasinya dipastikan, tekong melabuhkan sauh. Hari pun lewat senja, lampu mula dipasang menerangi kabin dan bahagian belakang bot.
Selesai makan, pancing dasar pun bermula. Beberapa kerapu seberat 1 hingga 2 kilogram dinaikkan. Puas dengan pancing menggunakan umpan, Sham menukar teknik dengan henjutan ‘jig’. Rakan yang lain ketawa dengan gelagat Sham yang tidak mungkin pada fikiran mereka akan berjaya dengan teknik itu.
Sekadar mencuba nasib, Sham meneruskan aksi beberapa kali. Beliau bertambah yakin kerana faktor kedalaman air melebihi 100 meter dalam dan kurang berarus. Jig 90 gm digunakan bagi aksi berkenaan.
Tiba-tiba kedengaran Sham mengeluh jignya tersangkut, seketika kemudian menjerit, ada mangsa menarik talinya ke dasar. Rakan-rakan lain turut memberi laluan dengan menggarau tali masing-masing takut dikhuatiri berbelit sesama sendiri.
Joran dipam perlahan-lahan namun masih gagal menghentikan asakan mangsa. Dalam masa lima minit tidak seinci pun tali berjaya dikarau. hanya dapat bertahan sambil melepaskan diri perlahan-lahan dibimbangi ianya mungkin putus.
Tali sulam power-pro 40 paun sudah tidak diyakini dapat bertahan lama. Tiba-tiba mangsa berhenti seketika dan peluang keemasan ini digunakan sebaik mungkin untuk mengarau tali. Joran berjaya di pam dan mangsa mengikut sambil ada kalanya menarik kembali ke dasar.
Dua puluh minit berlalu, mangsa berjaya dinaikkan separuh permukaan air, melepasi zon bahaya batu karang yang mungkin membuat Sham berputih mata akibat geseran. Kedalaman air melebihi 100 meter menyeksa Sham dengan kepenatan yang amat terasa.
Setelah mangsa betul-betul timbul di permukaan, barulah terjawab seribu soalan apabila kerapu 31 kilogram mula terkulai selepas bertarung selama 25 minit. Namun, sejurus spesies mahal itu dinaikkan, cuaca dan angin pada mulanya perlahan kini menjadi agak kuat, menandakan ribut akan melanda.
Kilat mula membelah langit, tekong mengarahkan sauh diangkat untuk berpindah dan berlindung di belakang pulau. Satu lagi dugaan mendatang apabila sauh terlekat di batu dan terpaksa di potong talinya.
Bot terpaksa diikat di unjam kerana sudah ketiadaan sauh. Awal pagi selepas sarapan pancingan disambung lagi. Kali ini teknik menunda menggunakan umpan hidup.
Sebelum menutup tirai pada perjalanan pulang kami sempat singgah di lubuk terakhir. Agak memberangsangkan apabila kami silih berganti menaikkan jenahak sekitar 2 kilogram dengan berumpankan sotong segar.
Trip kali ini penuh dramatik dan menguji keupayaan ketahanan diri apabila didatangi bermacam dugaan.
0 comments:
Post a Comment