CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

April 04, 2008

Barra King buru siakap Sungai Temun

Barra King buru siakap Sungai Temun

Oleh Mohammad Shamwen Hashim

BERKILAU: Wan menunjukkan siakap putih yang menyambar gewang.
BERKILAU: Wan menunjukkan siakap putih yang menyambar gewang.

KOTA TINGGI: Bagi penggemar ikan muara, sebut saja alur mana yang tidak mereka redah. Nyamuk dan agas bukan lagi halangan. Malah kadang-kadang terserempak ular air dan sang biawak.

Mereka sanggup mengeluarkan belanja membeli bot gentian kaca dan enjin sangkut yang mencecah belasan ribu ringgit semata-mata mencapai keseronokan berentap dengan siakap putih dan siakap merah. Jika tidak, mereka akan menyewa bot selama 2 hingga 3 hari untuk memburu kepuasan peribadi.

Begitu halnya rakan pancing penulis - Suhaimi Zainal Abidin tetapi lebih selesa dengan panggilan Wan. Beliau yang kami gelar Barra King memang cukup handal selok-belok persembunyian siakap dalam alur dan anak sungai di Sungai Johor. Setiap hari minggu beliau dan rakan karibnya, Bedul pasti tidak melepaskan peluang menyusuri alur sungai memburu dua spesies itu.

Biasanya mereka keluar awal subuh untuk menjala udang dan ikan belanak untuk dijadikan umpan. Perumpun pula dikorek di tebing sungai yang berlumpur atau lebih mudah membelinya daripada Orang Asli yang sememangnya mencari makan dengan menjual perumpun dan ruat.

Lubuk siakap Sungai Temun menjadi pilihan pertama Wan dan Bedul. Di situ, mereka menggunakan ikan selayang segar dan udang hidup untuk menjerat siakap putih yang mereka sebut barra. Berkat kesabaran, Wan menewaskan seekor barramundi berskala 5.5 kilogram (kg).

Kemudian tiba giliran Bedul menaikkan spesies sama kira-kira 6kg. Sikap putih adalah ikan muara yang sangat cantik dan sukar ditawan. Kilauan pancaran cahaya perak sisiknya yang bersih memang mempesonakan. Tidak hairan, kenapa pemancing Australia amat gemar memburu barramundi di serata dunia.

Kata Wan, terdapat banyak lagi siakap yang lebih besar dan mencecah belasan kilogram di situ jika kena dengan masa, arus dan juga umpan.

Di lubuk kedua, Wan dan Bedul menghanyutkan umpan udang hidup di tengah alur Sungai Temun. Pertembungan dua arus sungai itu membuatkan air sedikit berolak yang menjadi tempat siakap putih bermain dan mengejar mangsa seperti anak udang dan tamban. Umpan udang hidup juga terdapat dua jenis di sini iaitu udang kertas air masin dan juga udang harimau berkulit hitam keras.

Namun begitu, udang kertas putih berkaki merah lebih mendapat perhatian siakap putih. Selain itu, umpan selayang segar juga efektif asalkan kita rajin menukar umpan dan juga mengunjun perlahan-lahan supaya umpan nampak hidup. Di sini, ada banyak siakap merah yang ditewaskan tetapi saiz tidaklah membanggakan. Yang kecil, mereka lepaskan semula.

Wan dan Bedul juga menggunakan teknik trolling dengan menunda gewang Rapala dan juga Halco Sorcerers. Sekali sekala ada juga siakap putih dan merah menyambar gewang. Tidak kurang pula yang tersangkut reba dalam sungai! Teknik melontar gewang (casting) juga boleh dipraktikkan di sini. Selalunya jika air sungai jernih dan berarus, banyak siakap yang menyambar gewang. Selain siakap, ikan sembilang besar dikenali sebagai gemang juga banyak menghuni alur sungai ini. Umpan perumpun atau ruat paling efektif memperdaya gemang ini. Pendek kata muara Sungai Temun memang berpotensi bagi memenuhi impian penggemar barramundi.

INFO

  • Umpan memancing di muara ialah ruat, umpun-umpun, udang hidup dan belanak khusus untuk menjerat siakap putih dan merah.

  • Spesies muara juga gemar menyambar gewang yang ditunda atau dengan kaedah casting.

  • Semilang gergasi atau gemang menggemari umpun-umpun atau ruat.
  • 0 comments: