CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

April 04, 2008

Udang pasar pikat senohong Pulau Angsa

Udang pasar pikat senohong Pulau Angsa

Oleh Zahari Jaafar


JERAM: Baru-baru ini, Ady, Wak Jamil dan Zaky sepakat untuk menguji spesies sekitar Pulau Angsa sebagai mengisi cuti hujung minggu. Mereka bertiga adalah ahli Sawit Anglers Team dari Bangi, Selangor.

Tekong memberitahu, umpan udang segar tidak dapat dicari. Ady segera mencari alternatif dengan membeli udang di pasar sebelum bertolak ke sana. Dua kilogram udang putih sebesar jari telunjuk dibeli sebagai umpan.

“Kalau ada rezeki, kita tetap dapat menaikkan ikan walaupun menggunakan umpan udang pasar,” kata Ady menenangkan Wak Jamil dan Zaky yang sedikit resah kerana ketiadaan udang segar.

Sampan dengan enjin sangkut 30 kuasa kuda memang selesa untuk empat orang. Dua puluh minit meninggalkan jeti, mereka tiba di lokasi pertama iaitu di sekitar Pulau Angsa. Tekong yang hanya dikenali dengan panggilan Kepeng segera melabuhkan sauh.

Udang pasar perlu dibuang kulitnya untuk mengeluarkan bau supaya ikan lebih tertarik memakannya. Wak Jamil terlebih dulu menunjukkan ‘aura’ apabila seekor gelama papan sebesar lima jari dinaikkan.

Zaky tidak kurang hebat apabila menaikkan senangin. Ady pula menaikkan gelama. Banyak kali juga mereka kecewa angkara ikan buntal yang cukup berminat memutuskan tali perambut. Beberapa ekor buntal dinaikkan dengan perutnya yang bulat dan segera dilepaskan semula ke laut. Hanya gelama, senangin dan ikan duri dinaikkan di sini menyebabkan tekong berpindah lubuk.

Di lubuk kedua, mempunyai kedalaman yang hampir sama dengan lubuk pertama. Udang yang dibuang kulit segera dicangkuk di mata kail. Apabila ladung mencecah dasar masing-masing sabar menanti joran disentap ikan.

Zaky mendahului rakan apabila seekor gelama pisang dinaikkan. Pada jam 10 pagi, tiba-tiba kekili Ady menjerit. Tali mencurah keluar. Beliau hanya mampu bertahan. Tali ke kiri dan ke kanan. Ikan melawan habis-habisan.

Rakan lain mengarau kekili untuk memberi laluan kepada Ady berlawan dengan ikan yang belum diketahui lagi jenisnya. Tekanan yang diberikan ternyata membuktikan ikan adalah bersaiz besar.

Beliau yang menggunakan set sederhana tetap tenang melayan mangsa. Kira-kira 15 minit bertarung, akhirnya seekor senohong seberat 5 kilogram (kg) menyerah diri. Jelas terpancar kepuasan wajah pegawai teknologi maklumat itu apabila ikan berkenaan terdampar di lantai bot.

Selang beberapa ketika giliran Wak Jamil menerima ujian. Beliau sedikit dipaksa apabila set kecil untuk memancing gelama mengena ikan yang agak besar. Namun berkat kesabaran serta pengalaman dan sokongan rakan, beliau akhirnya berjaya menaikkan seekor pari beting bersaiz 5kg.

“Syukur kerana aku berjaya juga menaikkan pari ini walaupun menggunakan joran memancing gelama,” kata Wak Jamil. Selepas beberapa kali berpindah lubuk, banyak juga ikan yang memenuhi tong mereka.

Setibanya di lubuk terakhir, masing-masing segera menurunkan umpan ke dasar. Ady terlebih dulu menjadi jaguh apabila joran aksi sederhana beliau direntap kuat oleh penghuni di dasar.

Pada mulanya ikan cuba melepaskan diri tetapi ternyata tewas juga akhirnya. Seekor selampai 1kg menjadi habuan Ady. Wak Jamil yang bersebelahan Ady juga menerima sentapan apabila jorannya membengkok dihenjut ikan.

Beberapa minit berlalu, timbul seekor selampai yang agak besar tetapi sayang bukan rezeki beliau apabila terlucut sebelum sempat disauk. Jelas terpancar wajah kecewanya sambil menepuk-nepuk dahi. Nampaknya selampai masih ada di bawah sana apabila Ady sekali lagi menaikkan spesies bertompok hitam ini yang saiznya juga mencecah 1kg.

Malang sekali lagi menimpa Wak Jamil apabila ikan yang sedang dinaikkan terlucut sekali lagi di pertengahan air. Ikan berkenaan juga dipercayai selampai kerana selepas itu tiada lagi ikan menjamah umpan kecuali ikan kecil sebagai hiburan yang layak dilepaskan semula ke laut.

Ternyata trip memancing yang singkat ini memberi kepuasan kepada mereka bertiga kerana pelbagai spesies ikan dipancing. Lebih menggembirakan, senohong yang dikatakan sukar dipancing juga berjaya dinaikkan. Ini memberi gambaran bahawa perairan di sekitar Pulau Angsa masih lagi menyimpan stok ikan gred A sekiranya tekong yang dipilih oleh pemancing mahir selok belok lubuk di sini.

emel Emel Artikel cetak

0 comments: