CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

April 04, 2008

Menotok jenahak hanyut di alur kapal

Menotok jenahak hanyut di alur kapal

Oleh Tamizam Abdul Karim

AKSI: Jailani melayan jenahak Selat Melaka sambil diperhatikan Azizul.
AKSI: Jailani melayan jenahak Selat Melaka sambil diperhatikan Azizul.

PELABUHAN KLANG: Istilah ‘menotok’ digambarkan sebagai teknik memancing secara hanyut. Teknik ini bukan sesuatu yang baru di kalangan pengail di Selat Melaka.

Ia sudah lama dipraktikkan kerana berkonsepkan umpan mencari ikan bukan sebaliknya.

Jika enam joran melabuhkan umpan, kemungkinan semua disambar serentak bukan luar biasa kerana ikan jenahak sering berkumpul dalam gerombolan besar.

Menotok adalah cara terbaik memancing di laluan kapal dagang paling sibuk di dunia. Namun itu berisiko jika kita melabuhkan sauh. Mahu tidaknya, apabila kapal tiba-tiba muncul memaksa pemancing menarik tali sauh pada kedalaman 60 meter.

Jika berhanyut, anda hanya perlu menghidupkan enjin dan beredar dari situ. Menarik sauh secara manual dari dasar yang dalam bukan kerja mudah dan siap sekelip mata.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan mengikuti trip menotok di Selat Melaka bersama ahli Persatuan Pengail Selangor. Kami bergerak ke lokasi pilihan dan berhanyut di sekitar di Paloh 3 untuk menotok.

Paloh diistilahkan oleh kaki pancing di sini sebagai laluan kapal lalu-lalang. Di Paloh 3 ini ada lubuk sehingga 70m dan dijadikan laluan utama kapal kontena dan tangki besar.

“Untuk melepasi lubuk ini, kita perlu menggunakan enjin sangkut melebihi 60 kuasa kuda sekali gus mengurangkan masa perjalanan pergi balik. Jarak dari jeti ialah 23 batu nautika.

“Tiga tong penuh minyak dengan perjalanan lebih kurang sejam dari Pulau Pintu Gedung atau dermaga West Port,’’ kata Mahmudi Mansor yang juga kenalan penulis.

Lubuk ini dikenal pasti oleh pemancing dan nelayan mempunyai potensi mendapatkan ikan.

Kawasan ini juga jarang dikunjungi bot pukat tunda. Namun begitu, dasarnya berlumpur dan tanah keras dengan sedikit tompok bunga karang dan batu karang.

Sesuai benar menotok di kawasan tiada batu karang kerana ia dapat mengelakkan pancing tersangkut.

Gerenti dapat ikan bila menotok? Jawapannya tidak. Kadang kala pulang dengan tangan kosong.

Ia tidak menjanjikan pulangan lumayan tetapi puas jika dapat seekor dua untuk menjadikan hobi ini teruja walaupun tidak berbaloi dengan modal dan usaha yang dilaburkan.

Dalam trip ini, kumpulan pengail hanya mampu membawa pulang tiga ekor jenahak, seekor ikan merah dan seekor gerut-gerut.

Daripada tujuh bot yang menyertai misi, hanya dua membawa pulang hasil.

Haji Jailani terlebih dulu diasak jenahak di kalangan kami.

Selang beberapa detik sekali lagi joran beliau disentap jenahak. Namun yang paling bangga ialah jenahak 6 kilogram yang ditawan oleh

Giliran pancing beliau yang berumpan sotong kurita hidup disambar jenahak pada kira-kira jam 5.10 petang.

Ini turut disaksikan oleh beberapa pemancing termasuk penulis.

Mahmudi atau Boy mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk menewaskan jenahak itu. Ikan yang menjadi buruan ialah jenahak, siakap merah, ikan merah dan kerapu.

Kadang kala ada juga pemancing teknik berhanyut ini membawa pulang ikan talang, aruan tasik, gerepoh, pari, ibu gelama (temerih), tebal pipi dan gegerut.

Biasanya kos untuk menotok sekarang antara RM150 hingga RM300 bagi bot menggunakan enjin lebih 60kk.

Kos petrol kira-kira RM150, umpan sotong kurita hidup dan ikan pelaling (RM100) manakala belanja membeli ais, makan dan minuman RM50 untuk tiga pemancing.

emel Emel Artikel cetak

0 comments: