CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

April 04, 2008

Buru sang serigala Tasik Kenyir

Buru sang serigala Tasik Kenyir

Oleh Mohd Rozam Abdul Wahab

BERKILAU: Penulis dengan sebarau hasil tangkapan hari terakhir menggunakan umpan hidup.
BERKILAU: Penulis dengan sebarau hasil tangkapan hari terakhir menggunakan umpan hidup.

TASIK KENYIR: Setelah sekian lama dirancang malah menghadapi pelbagai rintangan, akhirnya Team Kelab Jabatan Pendaftar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) diketuai Zakaria dengan ahlinya Nazrin, Tamim, A Syukri, Safniezal dan penulis akhirnya dapat menganjurkan trip ke Taman Negara, Tasik Kenyir, bagi memburu penghuni dasarnya.

Walaupun sejak hari pertama hingga terakhir hujan tidak berhenti dan jarak perjalanan memakan masa sehingga lima jam dengan rumah rakit, semua itu langsung tidak mematahkan semangat kami untuk ke sana.

Namun, kami agak teruja dengan tekong Karim yang mengatakan beberapa minggu sebelum itu beliau menaikkan seekor badong (sebarau) seberat 5 kilogram (kg) di sekitar Sungai Terengan. Kami sampai ke lokasi kira-kira jam 6.30 petang setelah bertolak dari pangkalan di Jenagor, pada jam 1.30 tengahari.

Berbekalkan senjata ampuh dan berumpankan anak keli hidup serta set casting, pertarungan bermula pada malam hari dengan joran Safniezal dihenjut kuat oleh sang toman. Namun tali sulam utama tidak berjaya menahan asakan toman tasik itu. Walaupun berputih mata, ia adalah pengalaman pertama beliau menguji asakan penghuni Tasik Kenyir. Malam pertama dilabuhkan tanpa sebarang hasil. Seperti biasa tanpa hasil, menu makan malam pertama kami adalah sardin dan telur goreng.

Pada hari kedua, penulis bersama Nazrin, tekong dan Safniezal, mudik seawal jam 7.30 pagi ke hulu Sungai Terenggan berbekalkan set casting. Beberapa kali sentapan mengena. Namun sayang, penghuninya lebih bernasib baik kerana bijak menyelinap ke dalam tunggul kayu dan rumput di gigi air.

Kemudian, nasib menyebelahi kami. Kali ini Nazrin mendaratkan seekor sebarau berskala 400 gram yang rakus menghentam sesudu kilatnya. Kami beralih ke lubuk yang airnya lebih deras dan mempunyai struktur tunggul kerana kami percaya di situ kelibat sang serigala pasti ada. Tekaan kami tepat. Balingan pertama kami disambut dengan sentapan kembar daripada tekong dan penulis. Hasilnya dua ekor serigala air tawar ini didaratkan.

Pada sebelah petang, giliran Tamim, A Syukri dan Zakaria menguji jentera joran masing-masing. Walaupun masih baru dan kurang arif mengena teknik casting, mereka pulang dengan hasil yang tidak kurang hebatnya. Tidak habis di situ, tiba-tiba sang serigala mengamuk di tepi bot kami di kala mentari mula diterjah kegelapan dengan keadaan yang agak ‘frenzy’.

Perkara ini jarang berlaku dan mungkin menjadi rezeki kami kali ini. Tanpa membuang masa balingan dilontarkan dan disambut dengan sentapan kuat. Hasilnya seekor badong sulung daripada Safniezal berskala 1.2kg didaratkan dengan megah. Tidak cukup dengan itu, beberapa kali sentapan mengena dengan bersenjatakan Rapala Shard Rap dan Duel Hardcore yang menumpaskan mangsa.

Penangan menu makan malam kami hari itu mungkin lebih menguja dan menyelerakan.

Pada hari terakhir, seekor sebarau terpedaya dan terperangkap dengan umpan hidup. Walaupun hasil tidak berapa memuaskan, kepuasan jelas terpancar di wajah kami. Mungkin nasib tidak menyebelahi kami kali ini kerana air hulu sungai turun dengan laju dan membatasi pergerakan untuk bermudik ke lubuk yang lebih baik. Namun, semangat kami tidak pernah goyah dan lentur serta berharap dapat menguji sekali lagi penghuni gah Tasik Kenyir iaitu sang serigala suatu hari nanti.

emel Emel Artikel cetak

0 comments: