CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

April 04, 2008

Buru ikan minyak, GT di Takarewataya

Buru ikan minyak, GT di Takarewataya

Oleh Suresh Marimuthu

BERAT: Sho Chee Heng menumpaskan seekor jemuduk gergasi (giant trevelly) seberat 27.5 kilogram pada hari pertama trip memancing di Karang Takarewataya dekat Ujung Pandang Sulawesi, Indonesia, baru-baru ini.
BERAT: Sho Chee Heng menumpaskan seekor jemuduk gergasi (giant trevelly) seberat 27.5 kilogram pada hari pertama trip memancing di Karang Takarewataya dekat Ujung Pandang Sulawesi, Indonesia, baru-baru ini.

MAKASAR: Bagi seorang pemancing fanatik, kepuasan trip memancing ke luar negeri tiada bandingan. Ujung Pandang dekat sini adalah destinasi memancing kami kali ini. Ada beberapa kawasan memancing yang menarik di bahagian selatan Sulawesi seperti Karang Takaborate, Karang Takarewataya dan Karang Takabakang.

Penulis dan rakan, Chow Sai Siong (Ah Siong) diajak penganjur dari Singapura, Chris Seoh ke Sulawesi, baru-baru ini. Setelah mendapat tarikh sesuai, penulis bersama Ah Siong dan rakan lain, Justin Tan Jake Hui dan Sho Chee Heng serta Chris ke sana.

Tempat tujuan kami ke Karang Takarewataya sepanjang 12 batu nautika dan 4 batu nautika lebar, terletak 65 batu nautika ke arah barat daya. Di Lapangan Terbang Makasar, kami dijemput Chris bersama rakan, Hongdri Chandra. Kami melalui perjalanan 45 minit untuk ke Yasmin Hotel. Di situ, kami berbincang sambil makam malam bersama Chandra dan Chris yang mengatakan kami mungkin dilanda angin monsun sewaktu pulang pada hari ketiga nanti.

Kira-kira jam 7 pagi selepas sarapan, kami dijemput Chandra menuju ke jeti Ujung Pandang. Bot pancing kami – Lady Popsa-42 berukuran 42 kaki (13.5 meter) dan lebar 9 kaki (3 meter), sesuai untuk empat pemancing. Ada bilik tidur berhawa dingin, ruang memancing yang lapang di bahagian belakang bot serta lengkap echo sounder dan dua sistem GPS. Pagi itu cuaca baik. Kelajuan Lady Popsa mencapai 12 knot. Kapten Mokhtar bersama tiga krew tersenyum lebar menantikan ketibaan kami dan kemudian berlepas dari jeti jam 7.50 pagi ke Karang Takarewataya.

Sepanjang perjalanan, penulis bersama Kapten Mokhtar yang ramah orangnya, memberi nasihat dan maklumat kepada kami. Perjalanan memakan masa tujuh jam. Kira-kira sejam dalam perjalanan, kapten memberi isyarat untuk mulakan trolling. Ah Siong dan Justin menurunkan Trolling Skirt Williamson masing-masing menggunakan kekili Penn International 50SW, dimuatkan dengan tali sulam 80lb (Tuf Line) dan 130lb (Varivas).

Setelah dua jam perjalanan, kami melalui antara dua pulau - Pulau Tanakeke. Di antara dua pulau inilah, kata Mokhtar peratus skirt trolling dihambat gergasi karang mencapai 90%. Tidak sampai 5 minit, joran Shakespeare PE10 Ah Siong melengkung. Langsung kekili Penn berdesing menyerah kalah dan serta merta mengeluarkan tali. Ah Siong bergegas menyambar joran. Selepas 30 minit bertarung, seekor GT bersaiz 25 kilogram (kg) ditewaskan.

Empat jam kemudian kami tiba di Karang Takarewataya yang di sesetengah kawasan cuma sedalam 4 meter. Di situ ada sebuah rumah api yang dibina pada 1887 oleh Dutch Indies dengan ketinggian 23 meter berbentuk octagon. Berwarna jalur merah putih, lampunya berkelip setiap 10 saat untuk memberi amaran kepada laluan kapal di sini.

Sampai di lokasi, kami terpaksa berlindung kerana tiupan angin mencecah 25 knot. Di hujung karang kelihatan puncak ombak putih berpecah. Kami terpaksa berlabuh di sini untuk tiga hari berikutnya. Kedalaman tempat kami berlabuh antara 15 hingga 20 meter. Setelah angin reda sedikit di sebelah malam, Mokhtar memberi isyarat bahawa kami boleh memancing dasar. Tali sauh dihulurkan 15 meter. Langsung kedalaman laut mencecah 180 meter daripada asalnya 15 meter.

Satu cerunan yang begitu tajam menjunam ke dalam lautan yang mencecah 3,000 meter. Tali sauh diikat pada kedalaman 180 meter. Awak-awak Lady Popsa-42 membantu kami menyediakan ranggung dan umpan. Ranggung besi sepanjang dua kaki digunakan. Mata kail saiz 12 di depan dan 11 di belakang, digunakan.

Perambut dawai 250lb diikat dan diklip ketat. Ranggung berserta perambut dawai diikat kepada tali utama yang disyorkan minimum 100lb bersulam. Penulis dan Mokhtar menurunkan umpan pertama menggunakan kekili Penn International 50SW dan Joran G-Craft PE10 secara perlahan dengan batu ladung bersaiz 18. Arus di sini tidak deras kerana kami berada di cerun yang dilindungi oleh Karang Takarewataya. Ah Siong menurunkan umpan menggunakan kekeili Accurate 50W dan joran Shakespeare PE10.

Umpannya seekor ikan tuna bersaiz 600gram hingga 1kg. Setelah menunggu 10 minit, penulis mengesan satu sentapan kuat. Penulis membalas dan bermula pertarungan dengan gergasi laut dalam ini. Harness dengan sokongan bahagian pinggang dipasangkan oleh Ah Siong ketika penulis masih cuba menjinakkan mangsa. Setelah 35 minit bertarung, seekor ikan minyak atau Oilfish ((Ruvettus pretiosus), tumpas.

Hari kedua cuaca tidak baik. Kami terpaksa berlabuh di bahagian tepi karang. Aktiviti memancing dihentikan. Malam itu apabila tiupan angin reda sementara, Mokhtar mengarahkan krew melepaskan bot kira-kira 15 meter ke belakang. Daripada echo sounder dapat dilihat kedalaman bertukar daripada 15 meter kepada 180 meter.

Justin dan Ah Siong tanpa berlengah menurunkan umpan ke dasar. Penulis dan Chee melakukan teknik jigging masing-masing menggunakan kekili Accurate 665H dengan joran Jigging Master 500 diisi dan tali Varivas Avani 75lb serta set Saltiga Z40 dan set joran Jigwrex PE8. Jig seberat 250 gram luminous diturunkan. Ketika menjunam, jig disambar cupak. Ini membuatkan Ah Siong pun bertukar ke teknik jigging. Ah Siong menggunakan joran Fisherman PE8 dengan kekili Saltiga Z6500H Dogfight menurunkan jig seberat 300 grm. Jatuh saja ke dasar, jig Ah Siong disambar gergasi dasar tetapi sambaran pertama dan kedua rabut.

Setelah sejam kami berehat, Ah Siong meneruskan aktiviti jig. Kali ini, nampaknya sambaran gergasi dasar melekat. Ah Siong terkial-kial menjinakkan mangsa. Setelah 40 minit bertarung, akhirnya seekor lagi ikan minyak dinaikkan seberat 56kg. Jelas jig luminous 300 gram yang digunakan Ah Siong berkesan. Langsung penulis dan Chee menukar jig. Namun nasib kami tidak begitu baik apabila tali rabut setelah jig disambar hampir di dasar.

Trip ini juga satu rekod peribadi bagi Mokhtar dan Ah Siong kerana ikan minyak jarang dinaikkan dengan jig malah ini pertama kali di atas bot Lady Popsa-42.

Setelah hampir tiga jam melakukan jigging, kami melakukan pancingan dasar. Ah Siong menaikkan ikan minyak ketiga seberat 28kg. Selang 45 minit kemudian, penulis menaikkan seekor lagi ikan minyak seberat 25kg. Awal pagi angin mula bertiup kencang. Kami terpaksa berlindung kembali dekat karang pada kedalaman 15 meter sehingga malam.

Kira-kira jam 9 pagi, Mokhtar mengarahkan krew melepaskan sauh untuk kami pulang ke jeti Ujung Padang. Dengan ombak setinggi 5 meter, kami meredah lautan selama lapan jam dan selamat tiba ke jeti. Pak Rudi (pemilik bot) sudah menunggu kami. Kami singgah semalam di Makasar dan pulang ke Malaysia, esoknya.

Walaupun hasrat menaikkan tuna dogtooth dan Ruby Snapper tidak kesampaian, kami sangat puas hati dengan kejayaan menaikkan empat ekor ikan minyak dan GT.

Waktu paling sesuai untuk ke Makasar adalah antara April dan Jun iaitu hampir sama musim memancing di Pantai Timur Semenanjung. Pada Mei ini, kami merancang untuk kami kembali mencari dogtooth dan Ruby Snapper di sini. Yang berminat, hubungi Ah Boy 012-6481706 (Ocean Sea Tackle, Seri Kembangan).

emel Emel Artikel

0 comments: