CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

April 10, 2008

Pulau Banding syurga pemancing

Pulau Banding syurga pemancing

Oleh Mohammad Shamwen Hashim


TEMENGGOR: Musim banjir yang melanda negara sudah berlalu. Air hujan yang melimpah ke sungai dan tasik mulai surut. Pelbagai spesies ikan yang suatu ketika bertempiaran mencari perlindungan mula kembali menghuni lubuk seperti sediakala. Begitulah halnya di Pulau Banding, Tasik Temenggor, Perak. Kedatangan kami disambut oleh tekong muda, Mohd Hairul Izwan Dahlan. Kumpulan kami yang diketuai oleh Tok Batin Hashim, tidak sabar-sabar lagi hendak menduga kekuatan penghuni tasik Royal Belum ini.

Kunjungan kali ini lebih menarik berbanding trip musim hujan lalu yang lebih banyak bermain lumpur dan berendam daripada memancing. Namun begitu hujan renyai-renyai mengimbangi panas matahari. Persiapan kali ini juga lebih rapi. Berbekalkan gewang pelbagai warna dan bentuk, popper dan juga sesudu kami berharap hasil lebih lumayan. Tidak cukup dengan itu, kami menyediakan katak dan cengkerik untuk mengumpan haruan, bujuk dan kaloi.

Kadang-kadang ternampak anak udang bertempiaran lari apabila diusik pemburu di dasar. Di celah-celah rumput kedengaran kocakan air yang sudah tentunya bujuk dan haruan mengejar mangsanya. Kami berharap alur sungai ini masih dara dan belum digasak oleh pemukat haram. Namun kami terus mudik ke dalam kerana diberitakan banyak sebarau bermain selepas hujan. Sampai di lubuk Jenut Papan, bot dihanyutkan dengan begitu senyap dan berhati-hati. Mulut masing-masing terkunci dan tidak membuat bising selain mata terus menjeling sama ada terdapat tapak sang harimau mahupun tahi orang besar (gajah) sebelum turun menabur umpan. Acara melontar sesudu dan juga gewang bermula. Kawasan arus sungai yang berolak dan juga di air tenang di bawah celahan pokok menjadi pilihan. Boleh dikatakan setiap inci lokasi berair di sini adalah padang pancing.

Aksi pertama dimulakan oleh Rohaizat apabila Rapala Shad Rap miliknya disambar rakus. Berkat kesabaran, Rohaizat berjaya menewaskan badong skala 3 kilogram (kg). Kemudian tiba giliran Hasnul Rustam dengan gewang berjaya menjinakkan badong hamper 3kg. Tidak ketinggalan Nazri dengan badong bersaiz 2kg hasil mengilat sesudu. Tekong Hairul Izwan juga tidak ketinggalan menunjukkan kemahiran menewaskan beberapa spesies mahal.

Selepas itu kami mula mendaki ke kawasan jeram untuk mengendap kelah. Letih mendaki hilang serta-merta apabila terserempak sekumpulan sebarau bermain di permukaan air. Tak semena-mena hujan tiba dengan lebatnya petang itu. Pendakian diteruskan juga kerana godaan kelah amat kuat. Sesudu menjadi pilihan kami di sini. Sambaran demi sambaran berlaku tetapi yang berjaya dinaikkan hanya tiga ekor sebarau. Namun sambaran badong selepas itu menceriakan keadaan kami yang basah kuyup.

Banyak juga spesies yang kurang 500 gram dilepaskan semula agar terpelihara khazanah berharga di Royal Belum ini. Itupun kalau ‘lanun-lanun pukat’ dapat dibanteras secara berterusan. Lubuk badong ini amat berpotensi. Kepala badong yang besar ini banyak menyelamatkan spesies ini daripada tersangkut pukat yang selalunya membaham lampam dan tengalan yang berkepala tirus.

Pada sebelah malamnya kami berpeluang melayan ikan baung dan toman di Sungai Tiang. Umpan ikan patung hidup menjadi habuan baung yang kasar-kasar lingkungan 3-4kg. Sambaran baung di malam hari menghilangkan rasa mengantuk. Lewat malam kami pulang ke kawasan perkhemahan dengan penuh ceria. Malam itu diadakan acara membakar ikan sehingga ke pagi. Masing-masing letih meratah ikan lampam dan baung yang banyak tulang itu.

Pada keesokan harinya, kami ke lapangan sasar untuk casting toman sebelum menamatkan trip. Di sini, tiga toman berjaya ditumpaskan pada saat-saat akhir. Waktu menggembirakan amat pantas, sekejap saja masa untuk pulang sudah tiba. Masa sungguh mencemburui kami. Tekong juga tidak dapat berkompromi dengan kami untuk menambah masa kerana dia juga perlu membayar sewa lebih kepada pemilik bot. Kami mencadangkan kepadanya supaya membeli dan memiliki bot sendiri memandang beliau seorang tekong yang rajin dan berpengalaman. Dengan bot sendiri tentulah rezekinya akan bertambah dan tidak mustahil nanti namanya akan terkenal di kalangan kaki pancing air tawar di Malaysia. Bagi kaki pancing air tawar yang berminat menduga badong, kelah dan toman Tasik Banding boleh hubungi tekong Hairul Izwan di talian 019-2189437.

emel Emel Artikel cetak

0 comments: