CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

April 04, 2008

Toman terpedaya umpan tajur

Toman terpedaya umpan tajur

Oleh Zulkarnain Omar


MUADZAM SHAH: Jika menyusuri Sungai Rompin, pasti kita akan terpandang pacakan batang anak kayu yang dijadikan joran di tebingnya.
Ini satu cara nelayan di sini menjerat ikan yang dinamakan tajur.

Cara lain termasuk ambai, bubu, lukah dan merawai yang merentangi sungai dengan puluhan mata kail dipasang di sepanjang tali. Batu digunakan sebagai pemberat untuk menenggelamkan tali yang dipasang umpan ke dasar.

Menajur berkesan menjerat spesies seperti baung, tapah dan toman. Pudin Mohik (gambar)pada kebiasaannya akan meninjau tajur yang dipasang umpan pada lewat petang dan memeriksanya pada seawal pagi esoknya.

Biasanya jika air sungai sesuai, tajurnya boleh mengena antara lima hingga sepuluh ekor ikan pelbagai spesies. Ia juga bergantung kepada umpan yang dipasang. Setiap tebing sungai yang dipasang tajur mempunyai umpan yang berbeza mengikut kegemaran mangsa meragut umpan. Jika toman dan tapah anak keli dan sepat menjadi hidangannya manakala spesies baung memilih ulat sawit.

Setakat ini, tangkapan terbesar beliau menggunakan tajur ialah patin seberat 12 kilogram.

Ada juga tali tajur putus dibaham mangsa dan tidak kurang tajur hilang dipercayai dilarikan mangsa. Tajur juga mempunyai musuh iaitu biawak. Jika terlewat beliau memeriksanya maka mungkin biawak yang akan membaham terlebih dulu.

Lazimnya selepas tajur diperiksa, beliau akan memikul jala ke anak sungai dan parit bagi mencari anak ikan seperti sepat dan keli untuk dijadikan umpan tajur.

Hari itu beliau menjerat seekor toman seberat hampir 7 kilogram. Beliau menceritakan saat detiknya, dari jauh beliau terlihat joran tajur tenggelam timbul di permukaan air. Beliau segera merapatinya dan terlihat seekor toman tersangkut dan meronta untuk memboloskan dirinya.

Beliau amat berhati-hati ketika melepaskan mata tajur pada mulut toman takut kecuaian membawa padah kerana gigitan toman boleh mendatangkan kecederaan yang serius.

Toman juga sering diburu kaki pancing profesional tetapi caranya berbeza dari segi umpan mahupun joran yang digunakan. Joran yang digunakan pula pada tahap tugasan berat dengan tali 60 hingga 100 paun.

Daya pecutannya amat luar biasa, inilah yang digilai oleh kaki pancing.
Harganya di pasaran tidaklah semahal mana tetapi kepuasan mendapat tangkapan besar amat dirasai dan berbaloi.

emel Emel Artikel

0 comments: