CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

April 04, 2008

Ketumbang Sarawak

Ketumbang Sarawak

Oleh Zahari Jaafar

CANTIK: Nasir Smart menunjukkan spesies yang dikenali sebagai ikan ketumbang di kalangan orang Brunei, dari kawasan karang di perairan Sarawak, baru-baru ini.
CANTIK: Nasir Smart menunjukkan spesies yang dikenali sebagai ikan ketumbang di kalangan orang Brunei, dari kawasan karang di perairan Sarawak, baru-baru ini.

Tiga doktor pakar buruk jemuduk Sarawak

KUCHING: Kunjungan ke Sarawak pada kali ini dirancang secara tidak sengaja selepas kejayaan trip pertama dan kedua sebelum ini. Kali ini, Jeti Semariang, dekat sini menjadi destinasi kami memulakan perjalanan trip memancing ini.

Kebanyakan pemancing pada trip ini tidak berkesempatan mengikuti trip sebelumnya kecuali Badrolsham dari Persatuan Memancing Shah Alam yang ketika itu menewaskan ikan merah dan kaci bersaiz L yang sukar ditemui di Selat Melaka.

Penerbangan tambang murah ditempah untuk menjimatkan kos. Penulis selain Dr Raof, Dr Hashim, Dr Ikram, Tajudin Asia, Shah Puchong, Azmi Celestra, Zainal Krogoth, Omar Pencen, Badrolshah, Wak Sarip dan Nasir Smart turut sama. Lazimnya, dalam setahun, empat kali penulis memancing di Sarawak.

Di lapangan terbang, empat kenderaan digunakan untuk mengangkut pemancing dan peralatan. Ketika tiba di jeti, kami terlebih dulu berkenalan dengan tekong dan pembantunya. Makanan turut disediakan pemilik bot sebagai menyambut kedatangan kami.

Apabila air mula pasang, bot perlahan-lahan meninggalkan jeti. Selepas dua jam perjalanan, kami singgah di sekitar unjam milik tauke bot untuk mendapatkan umpan hidup seperti selayang, kembung, tamban dan selar.

Lubuk pertama kami di sekitar Paloh yang mengambil masa 9 jam dari jeti. Kami mensasarkan tenggiri manakala di gugusan batu karang untuk menjinakkan merah dan kerapu seperti trip sebelum ini. Tekong menerima maklumat angin bertiup agak kencang dan berita ini kurang enak untuk kami. Ternyata ia benar. Laut mula bergelora. Justeru lokasi yang bakal dikunjungi terpaksa diubah. Sauh dilabuhkan di kapal karam kira-kira 4 jam dari daratan.

Hirisan ikan segar segera dicangkuk dan diturunkan perlahan-lahan ke dasar. Tanpa menunggu lama, Tajuddin menarik perhatian penghuni kapal iaitu seekor ketarap hijau hampir 3 kilogram (kg). Zainal menewaskan seekor delah, manakala penulis menaikkan seekor gagok (spesies ikan duri). Keadaan yang kemudian sepi di kapal karam itu memaksa tekong berpindah lubuk namun laut agak bergelora dan membataskan pergerakan kami.

Menjelang malam, lampu limpah dinyalakan untuk menarik perhatian sotong dan beberapa ekor dapat ditangguk. Laut yang bergelora menyebabkan tidak banyak sotong timbul. Malang menimpa lagi apabila malam itu hujan lebat. Kami berkurung dalam bilik dan tidur sepuasnya sehingga pagi. Esok pagi, laut agak tenang. Hirisan sotong dijadikan umpan.

Dr Raof terlebih dulu mendapat lesen di gugusan karang itu apabila kekili elektrik beliau dihenjut kuat. Mangsa sedaya-upaya mahu melepaskan diri tetapi ternyata ebek 6kg akhirnya menjadi rezeki doktor pakar dari Bandar Baru Bangi itu.

Sebaik saja ebek beliau dinaikkan, Nasir menerima sentapan kuat dari dasar. Beliau yang kali pertama mengikuti penulis memancing di Sarawak dengan tenang mengawal mangsa. Pengalaman beliau yang selalu memancing di Pulau Jarak nampaknya banyak membantu apabila seekor jemuduk seberat 4kg pula terdampar atas bot.

Omar dan Dr Hashim menerima strike serentak. Mereka menaikkan spesies yang sama - jemuduk berskala 4kg. Tekong Hamzah menegaskan di situ lubuk terbaik memancing jemuduk. Sekiranya cuaca dan arus sesuai, lebih banyak jemuduk boleh dinaikkan. Sebelum kami berpindah, Dr Raof sekali lagi membuktikan kepakaran apabila seekor jemuduk terbesar trip ini dengan skala 6kg, dinaikkan.

Gugusan batu tinggi menjadi lubuk kami memancing waktu malam. Keadaan laut yang tidak tenang menyebabkan kami kurang selesa memancing kerana sukar bergerak. Azmi yang sebelah siang menaikkan beberapa ekor jemuduk, membuka tirai sesi memancing malam dengan menewaskan seekor gerepoh skala 5kg. Selang beberapa minit, Hamzah pula menaikkan seekor jenahak 3kg menggunakan sotong hidup. Shah tidak kurang hebatnya apabila seekor siakap merah skala 2kg dinaikkan sekitar jam 2.00 pagi.

Hari terakhir, kami memancing di kawasan karang yang menjadi lubuk rahsia tekong. Dr Ikram menaikkan seekor jemuduk dan aruan tasik dengan kaedah jigging. Banyak juga jig yang lesap. Seekor spesies pelik yang sukar dipancing dinaikkan oleh Omar. Ikan berwarna warni itu kebiasaan dikenali sebagai ikan ketumbang oleh penduduk Brunei tetapi di Malaysia belum ada nama untuknya.

Walaupun gagal di lubuk itu kerana cuaca buruk tetapi kami puas melayan jemuduk walaupun memancing cuma pada jarak kira-kira 5 jam dari daratan. Ternyata perairan Sarawak masih banyak dihuni pelbagai speseis ikan yang saiznya sukar ditandingi ikan di Semenanjung. Mac ini, sekali lagi perairan Sarawak bakal dikunjungi sebagai trip pertama kami tahun ini.

emel Emel Artikel

0 comments: