CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

April 03, 2008

Kertas daripada jerami padi

Tulisan kaligrafi di atas permukaan kertas jerami padi yang dihasilkan oleh Mohd Azizudin Aziz tampak lebih menarik dan asli apabila dihiasi dengan taburan sekam padi.


MOHD AZIZUDIN AZIZ menunjukkan lampu tanglung yang dihasilkan daripada jerami padi.


INOVASI kertas buatan tangan daripada serat batang pisang yang dihasilkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) memberikan ilham kepada usahawan Kraftangan Kedah, Mohd Azizudin Aziz, 34, memperkenalkan kertas buatan tangan daripada jerami padi.

Menggunakan teknologi seperti yang diperkenalkan oleh USM, Azizudin menjadi pengusaha pertama yang memperkenalkan kertas daripada jerami padi di negara ini.

Beliau, yang mendapat bimbingan daripada Kraftangan Malaysia cawangan Kedah, kini menumpukan sepenuh usahanya dalam menghasilkan produk kraf daripada kertas jerami padi.

Antaranya ialah penghasilan lampu tanglung dan kaligrafi ayat-ayat al-Quran.

Biarpun masih di peringkat inkubator, Azizudin yakin usahanya akan berjaya ditambah pula dengan sokongan dan bimbingan pemasaran secara komersial pihak Kraftangan Kedah.

Selain cintanya terhadap seni kaligrafi, minat berniaga juga menyebabkan Azizudin tanpa ragu-ragu meninggalkan dunia perguruan dan beralih menjadi usahawan.

Lulusan bidang Bahasa Arab dari Kolej Orman di Kaherah, Mesir ini pernah kerugian hampir RM10,000 apabila stok perniagaan mencetak kemeja-T dan kain telekung yang diusahakannya musnah ketika banjir.


JERAMI yang belum diproses untuk dijadikan kertas.


Bagaimanapun, istilah putus asa tidak pernah wujud menyebabkan beliau bangkit mencuba bidang baru.

"Tumpuan saya kini ialah menghasilkan produk kraf daripada kertas buatan tangan. Inovasi daripada jerami padi ini mulanya dijalankan oleh pihak Kraftangan sebelum diserahkan kepada usahawan untuk menghasilkannya secara komersil," jelas Azizudin yang kini dibantu oleh dua pekerja yang merupakan pelatih Latihan Kemahiran Tenaga Kerja (LTTK) Kraftangan.

Ketika ditemui di inkubator Kraftangan cawangan Kedah, Azizudin menunjukkan cara-cara penghasilan kertas daripada jerami padi.

Melihat kepada prosesnya, ia hampir menyamai penghasilan kertas kitar semula daripada bahan-bahan terbuang. Namun yang membezakannya ialah proses yang melibatkan jalan pintas yang lebih cepat dan mudah.

Menariknya, penghasilan kertas ini tidak memerlukan mesin yang canggih dan berat serta modal yang besar. Selepas jerami direndam semalaman, ia dikisar hingga hancur.

Kemudian, isi dan seratnya diasingkan bagi mendapatkan serat asli. Setelah itu ia dimasukkan ke dalam mesin yang mengandungi campuran air, suratkhabar lama dan bahan lendir daripada tumbuhan semula jadi.

Lendir yang digunakan ialah lendir kacang bendi atau lendir daun bunga raya. Lendir ini bertindak sebagai gam atau bahan pelekat.

Ia kemudiannya ditapis menggunakan penangguk yang dibuat mengikut saiz kertas yang diingini. Campuran yang sempurna akan menghasilkan tapisan yang tidak berketul-ketul dan rata di atas penangguk.

Setelah itu, ia dikeringkan pada suhu bilik dengan melekapkan penangguk tadi secara terbalik di atas helaian kain dan ditekan agar ia rata.

Setelah kering, helaian kain tadi ditarik secara perlahan-lahan meninggalkan jerami padi yang telah pun menjadi sehelai kertas.


PELATIH memasukkan jerami yang direndam ke dalam pengisar.


Menurut Abdul Ghani Yob, pereka dari Kraftangan Kedah yang bertanggungjawab membimbing Azizudin, selain jerami padi, kaedah ini juga boleh digunakan bagi menghasilkan kertas daripada pokok bebaru, kain-kain dan jean terpakai atau apa sahaja bahan yang menepati konsep kitar semula.

"Bagaimanapun, penghasilan lampu tanglung dan kaligrafi daripada jerami padi yang diusahakan oleh Azizudin ini agak unik malah boleh diketengahkan sebagai produk kraf dari Kedah yang terkenal dengan jolokan Negeri Jelapang Padi," jelas Abdul Ghani.

Kreativiti Azizudin jelas terbukti apabila tangan seninya menabur sekam padi di atas kertas yang terhasil. Tulisan kaligrafi di permukaan kertas jerami padi yang dihasilkannya tampak lebih menarik dan asli apabila dihiasi dengan taburan sekam padi. Mengakui memperoleh kepuasan dengan menghasilkan kaligrafi, beliau turut menyiapkan bingkai sendiri daripada pokok kayu pain. Tanpa bingkai, kaligrafi di atas kertas jerami padi itu dijual pada harga dari RM2 hingga RM120.

Manakala kaligrafi yang berbingkai boleh mencecah sehingga RM700 mengikut saiz yang ditempah.

Selain tempahan kaligrafi, beliau juga sedang menyiapkan tempahan 200 buah lampu tanglung daripada kertas yang sama. Lampu-lampu tanglung pelbagai warna itu cantik dan sesuai dijadikan hiasan siling mahupun di sudut rumah.

"Kini tumpuan saya bukan sekadar kepada penghasilan kaligrafi dan tanglung sahaja, tetapi mensasarkan kepada rekaan lampu-lampu hiasan dinding gabungan kertas jerami padi dan rangkanya pula daripada kayu pine.

"Insya-Allah, buat permulaan, pasarannya ialah kepada resort dan hotel di negeri ini," terang usahawan kreatif ini.

Bagi pembaca yang berminat mendapatkan dan melihat keindahan lampu tanglung daripada kertas jerami padi dan kaligrafi al-Quran di atas kertas yang sama, bolehlah berkunjung ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur di Jalan Conlay dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Hari Kraf Kebangsaan 2008 berakhir hingga 7 April ini atau boleh menghubungi Teratak Cempaka Trading di talian 012-4541262. - Bernama

0 comments: