CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

April 03, 2008

Menyelamat di saat cemas

Dalam setiap 10 mangsa yang mengalami masalah jantung terhenti yang dimasukkan ke hospital, hanya tiga berjaya diselamatkan. Mengapa?


PERIKSA mangsa. Hubungi bantuan paramedik.


ANDA tahu apa itu resusitasi kardiopulmonari (CPR)? Macam pernah dengar bukan? Atau agaknya tahu tetapi tidak pasti? Jika jawapan anda 'ya' untuk soalan pertama tadi, adakah reaksi anda masih sama andainya ditanya: "Tahukah anda bagaimana CPR dilakukan?"

Tidak mengejutkan jika anda sejujurnya menjawab: "Saya tidak tahu" kerana hakikatnya ramai seperti anda.

Kenyataan ini sepatutnya menyedarkan kita betapa sia-sianya peluang untuk menyelamatkan orang lain di saat kecemasan hanya kerana kita tidak tahu melakukan CPR.

CPR atau kardiopulmonari pernafasan adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari oleh setiap orang. Sama ada anda seorang suri rumah, pelajar, guru besar, selebriti terkenal mahupun pengarah syarikat gergasi, yang pasti ia bukan hanya kemahiran yang diperlukan oleh penyelamat nyawa seperti yang anda saksikan dalam program Baywatch sahaja.

Pendek kata, ia merupakan kemahiran universal yang menyediakan anda dengan langkah-langkah penting menyelamat di saat-saat berlakunya kecemasan.


LAKUKAN CPR jika mangsa tidak bernafas.


Malangnya, kebanyakan orang masih tidak tahu cara melakukan CPR. Malah, dalam setiap 10 mangsa yang mengalami masalah jantung terhenti yang dimasukkan ke hospital, hanya tiga sja yang berjaya diselamatkan.

Semuanya gara-gara sebilangan besar saksi di tempat kejadian tidak dilengkapi dengan kemahiran melakukan CPR kepada si mangsa.

"Dalam masa beberapa minit pertama apabila fungsi jantung terhenti, adalah kritikal untuk saksi kejadian melakukan CPR kepada mangsa bagi memastikan bekalan darah disalurkan ke otak.


PERIKSA pernafasan mangsa.


"Akan tetapi, dalam kebanyakan kes, bantuan paramedik hanya akan tiba beberapa minit atau jam kemudian. Pada ketika inilah bantuan CPR yang dilakukan oleh saksi (pada kebiasaannya ahli keluarga) boleh memberi kelainan sama ada mangsa dapat diselamatkan atau tidak," kata Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM), Dr. Hendrick Chia, pada sebuah sidang akhbar di ibu negara baru-baru ini.

Menurut Dr. Hendrick, kejadian jantung terhenti berlaku apabila jantung si mangsa berhenti mengepam darah dan ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor.

Antaranya termasuk serangan penyakit jantung, lemas, renjatan elektrik dan masalah lain yang sejumlah besarnya terjadi di rumah atau di sisi orang tersayang.

Sehubungan itu, pengetahuan dan langkah CPR yang dilakukan secara betul mampu menggandakan peluang menyelamatkan si mangsa.

Seiring dengan matlamat ini, satu program pendidikan CPR Awam bakal dianjurkan oleh NHAM secara percuma bersempena dengan Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-12 pada bulan hadapan.


TEKAN dada mangsa.


Ketua Projek Program Pendidikan CPR Awam, Dr. Chee Kok Han berkata, pendedahan latihan CPR kepada orang ramai boleh memberi hasil yang berbeza kepada mangsa yang mengalami masalah fungsi jantung terhenti.

Jurulatih terlatih daripada pelbagai pusat jantung akan mengajar kemahiran CPR kepada orang ramai dalam kumpulan-kumpulan yang kecil. Orang ramai akan diberi peluang mempraktikkan kemahiran ke atas patung manekuin.

"Kematian otak bermula antara empat hingga enam minit selepas seseorang mengalami pemberhentian tindakan mengepam yang berkesan oleh jantung, jika tiada bantuan CPR atau defibrilasi diberikan," jelasnya.

Dr. Chee memberitahu, lebih memeranjatkan, di kalangan mereka yang tahu CPR, 45 peratus daripada pengamal-pengamal perubatan dan 80 peratus jururawat tidak bersedia melakukannya atas beberapa alasan

"Hasil kajian dalam dan luar negara telah membuktikan ramai yang tidak tahu melakukan CPR. Malah, di kalangan mereka yang tahu juga tidak bersedia untuk melakukannya. Ada yang takut tersilap kaedah, rasa tidak selesa melakukan resusitasi dari mulut ke mulut atau bimbang terkena jangkitan daripada mangsa. Apa sekali pun, di NHAM, kami turut menyediakan kelas refresher," terangnya.

Satu kajian Survey on First Aid and CPR among Health Personnel in Malaysia pada tahun 2005 menunjukkan, hanya 50 peratus daripada sejumlah pekerja penjagaan kesihatan terlatih berkeyakinan untuk melakukan CPR.

Sambil menekankan bantuan CPR tidak hanya dihadkan untuk mangsa serangan sakit jantung, Dr. Chee berkata: "Jika hanya seorang sahaja tahu melakukan CPR, nyawa seseorang mungkin boleh diselamatkan."

Program Pendidikan CPR Awam yang bertemakan Give the Gift of Life, Today akan diadakan pada 6 April ini bermula dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Hanya 200 tempat diperuntukkan.

Untuk memuat turun borang pendaftaran atau maklumat lanjut, sila layari laman web www.malaysianheart.org atau hubungi talian 03-8075 6000.

0 comments: