CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

April 04, 2008

Kelah merah bertapa di Lata Papan

Kelah merah bertapa di Lata Papan

Oleh Helmi Hamzah

(DARI kiri) Ismail, Rahiman, Rusli, Yusuf dan Anuar dengan hasil tangkapan ketika trip lima hari, baru-baru ini.
(DARI kiri) Ismail, Rahiman, Rusli, Yusuf dan Anuar dengan hasil tangkapan ketika trip lima hari, baru-baru ini.

TASIK KENYIR: Kelah, sebarau, baung, jelawat, belida, lampam dan temperas antara spesies yang sering menjadi idaman kaki pancing yang menjejakkan kaki ke tasik ini yang menjadi antara lubuk tersohor ikan air tawar.

Daya tarung kelah merah (Tor douronensis) bagai menggamit Geng Shah Alam (ADBW) menjejaki spesies itu, baru-baru ini.

Musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur sering dikaitkan dengan jumlah tangkapan yang berkurangan kerana ikan air tawar dikatakan bergerak ke hulu mencari anak sungai untuk bertelur. Fenomena ini dinamakan ‘ikan lik’.

Paras air tasir yang naik ketika musim hujan juga dikatakan menjadi punca ikan menyusuri kawasan terpencil atau dasar tasik sekali gus tidak memakan umpan.

Maklumat itu sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan Geng ADBW - Yusof Othman, Rahiman Omar, Ismail Hashim dan Khairul Anuar Awang serta penulis kerana bimbang pulang tangan kosong.

Lebih membimbangkan apabila sebaik melangkah ke rumah bot Zalani House Boat, hujan renyai-renyai sekali lagi mendebarkan Geng ADBW kerana jika hujan semakin lebat maka trip itu mungkin tidak mendatangkan hasil seperti diharapkan.

Bagaimanapun, tekong Rusli Haron (Ali) dan pembantunya, Rusli Ibrahim (Adi) memberikan keyakinan apabila memberitahu peluang membawa pulang ikan masih cerah kerana menurut mereka ada beberapa lubuk yang masih jarang dikunjungi orang.

Umpan buah kelapa sawit peram dan segar, cacing dan ulat lundu antara umpan yang diletakkan di bahagian depan bot seperti memberikan isyarat peluang untuk memperoleh spesies gred A masih cerah kerana kelah biasanya menggunakan umpan buah kelapa sawit atau buah-buahan hutan.

Sungai Lawit adalah destinasi pertama yang dituju sebaik meninggalkan Pangkalan Gawi melalui perjalanan kira-kira 5 jam.

Sebaik tiba, penulis dan Rahiman tanpa berlengah menggunakan bot kecil mengunjungi beberapa lubuk untuk melakukan casting. Hasilnya, Rahimah menewaskan dua ekor toman serta tiga sebarau.

Tangkapan hari pertama kurang memberangsangkan. Ali memindahkan rumah bot ke lokasi kedua pada keesokan harinya iaitu Sungai Papan atau lebih dikenali sebagai Lata Papan. Lokasi itu agak tersembunyi dan umpama teluk yang terlalu sunyi. Namun kicauan burung, laungan monyet dan deburan air dek ikan yang melompat menyambut kedatangan kami.

Toman yang melompat pada jarak kurang 100 meter dan di muka Sungai Papan tidak jauh dari bot membuatkan lima kaki pancing dan dua petugas bot tidak sabar untuk mencuba nasib.

Yusuf dan Ismail yang melemparkan umpan beberapa minit selepas bot berlabuh, menaikkan baung dan memperas kurang 10 minit sebaik umpan cacing dilontarkan ke dasar tasik.

Anuar, Rahiman dan penulis pula cuba menjejaki sebarau serta toman di kawasan reba kayu balak yang terdampar berhampiran tebing dan muka Sungai Papan serta beberapa kawasan berhampiran.

Hasilnya, Rahiman menjinakkan lapan sebarau dan tiga toman manakala Anuar menundukkan tiga sebarau dan dua toman manakala penulis menewaskan tiga sebarau dan seekor toman dalam tempoh kurang tiga jam dengan memancing dengan teknik casting.

Namun begitu, dalam hati kami masih tersimpan harapan untuk menjinakkan kelah kerana itulah yang diidamkan selain spesies yang paling sukar untuk dijinakkan di tasik ini.

Pucuk dicita, ulam mendatang - itulah gambaran kegembiraan Geng ADBW apabila Ali tiba-tiba menjerit keseronokan kerana kelah merah yang diidamkan membaham umpan kelapa sawit segar.

Kelah merah seberat 7.8 kilogram memakan umpan yang dihidangkan pada jam 12.15 tengah malam ketika ramai di kalangan kami sudah hampir untuk tidur selepas penat seharian menjelajah lubuk ikan di tasik itu.

Zalani House Boat: 013-9353737

INFO

  • Sebarau mendiami di lubur kurang 1.8 meter.

  • Gemar bermain di permukaan air.

  • Casting cara terbaik menjinakkan spesies itu.

  • Kelah spesies yang sukar dijinakkan.

  • Umpan yang sesuai ialah buah kelapa sawit peram atau segar.

  • Keadaan perlu senyap dan pemancing disaran memakai pakaian ketika memburunya.

  • Waktu paling sesuai memancing di Tasik Kenyir ialah Mei atau musim panas.
  • 0 comments: